Keluarga runsing abang OKU mental hilang, hampir 2 minggu tak balik

Iklan
Nordin dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Pangkal Payong, Batu 30, hampir dua minggu lalu.

MACHANG – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Pangkal Payong, Batu 30, hampir dua minggu lalu.

Nordin Abdullah, 49, yang juga anak kedua daripada lapan beradik, kali terakhir dilihat keluar rumah sekitar jam 9 pagi, 2 September lalu dengan berjalan kaki selepas pulang sebentar menaiki motosikal.

Iklan
Iklan

Menurut adiknya, Rosli Abdullah, 43, Nordin kebiasaannya hanya keluar seketika dan akan pulang selewat-lewatnya jam 8 malam, namun sehingga kini gagal dikesan.

“Hari terakhir abang bercakap dengan ibu, dia hanya minta beg duit yang di dalamnya ada kad pengenalan.

Iklan

“Selepas itu dia keluar semula dan terus tidak balik,” katanya kepada Sinar Harian.

Rosli yang menetap di Perak berkata, dia pulang ke Kelantan minggu lalu untuk membantu mencari abangnya selepas menerima khabar kehilangannya.

Iklan

Katanya, Nordin yang masih bujang itu mula mengalami masalah mental kira-kira tiga hingga empat tahun lalu selepas kematian bapa mereka, Abdullah Mamat.

Nordin mempunyai ketinggian 176 sentimeter, berat lebih 80 kilogram, berkulit agak gelap dan kali terakhir dilihat memakai t-shirt berkolar berwarna kelabu kemerahan.

“Abang tidak pernah menumpang kenderaan orang lain dan kalau hendak ke mana-mana jauh, biasanya kami adik-beradik akan menghantarnya.

“Keluarga sekarang dalam keadaan bimbang keselamatan dia,” katanya.

Tambahnya, laporan polis dibuat di Balai Polis Machang pada 3 dan 4 September lalu, selain hebahan dilakukan kepada penduduk kampung dan sekitar daerah Kuala Krai, namun sehingga kini masih tiada petunjuk.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak Nordin diminta menghubungi Rosli Abdullah di talian 011-1070 1077.