Taufiq terima ugutan video lucah palsu guna AI

Iklan
Kiriman emel yang diterima Mohammed Taufiq.

SUNGAI PETANI - Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari mendakwa menerima ugutan melalui kiriman emel yang memaparkan video lucah, dihasilkan menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menurutnya, emel itu diterima pada 12 September lalu daripada sebuah akaun yang tidak dikenali, juga menuntut bayaran sebanyak AS$100,000 sebagai tebusan bagi mengelakkan video tersebut daripada disebarkan.

Iklan
Iklan

“Saya menegaskan bahawa ugutan ini adalah perbuatan jenayah siber yang amat serius.

"Video tersebut jelas disunting menggunakan teknologi AI dengan niat menjatuhkan maruah dan integriti saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Beliau berkata, laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk siasatan lanjut berhubung penyalahgunaan teknologi tersebut.

Selain itu, beliau juga akan membuat laporan polis agar siasatan menyeluruh dapat dijalankan.

Iklan

Mohammed Taufiq dalam masa yang sama mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan sebarang bentuk penipuan atau ugutan melalui internet kerana penyebaran kandungan palsu sebegitu bukan sahaja mencemarkan maruah individu tetapi turut mengancam keselamatan masyarakat.

Dalam pada itu, Sinar Harian pada Sabtu turut melaporkan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan beliau menerima ugutan melalui emel daripada individu tidak dikenali yang mendakwa memiliki video lucah kononnya melibatkan dirinya bersama seorang lelaki.

Menurut Rafizi, emel itu menuntut bayaran sebanyak AS$100,000 (kira-kira RM470,000) bagi mengelakkan video berkenaan disebarkan. Malah, ia turut disertakan dengan tangkap layar video serta kod QR untuk pemindahan wang.