BANK Rakyat dengan kerjasama Institut Perbankan dan Kewangan Islam IIUM (IIiBF) mengumumkan kajian mencadangkan pelaksanaan sukuk wakaf sebagai instrumen kewangan Islam inovatif untuk memperluas akses pembiayaan sosial sektor swasta.
Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, sebagai sebuah bank koperasi yang berteraskan nilai-nilai syariah, pihaknya komited untuk memacu inovasi yang mampu memperkasa komuniti.
Iklan
Iklan
“Sukuk wakaf mempunyai potensi besar untuk memperkukuh ekosistem kewangan sosial Islam dengan menyediakan instrumen yang berskala dan fleksibel bagi memenuhi objektif kewangan serta filantropi.
“Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan kami untuk mentakrifkan semula peranan kewangan Islam dalam mewujudkan impak sosioekonomi yang inklusif dan berpanjangan,” katanya.
Tambah beliau, sukuk wakaf ialah pelaburan patuh syariah yang membolehkan pelabur mewakafkan modal atau keuntungan sama ada semasa tempoh pelaburan atau selepas matang.
“Inovasi ini memperluas skop wakaf daripada aset kekal seperti tanah kepada instrumen kewangan yang lebih dinamik, fleksibel dan berskala untuk manfaat sosial,” katanya.
Pendekatan ini juga sejajar dengan aspirasi Pelan Induk Pasaran Modal 3 Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang menekankan peranan kewangan sosial Islam dalam pertumbuhan ekonomi inklusif dan lestari.