Berjalan bukan mahu seronok, tetapi tuntutan kerja - PM

Iklan
Anwar ketika berucap pada program Rapat Umum 27 Tahun Reformasi Peringkat Negeri Johor, pada Sabtu.

JOHOR BAHRU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa setiap lawatannya ke luar negara adalah atas urusan rasmi dan bukan untuk berseronok seperti yang didakwa segelintir pihak.

Menurut Anwar, lawatan beliau ke luar negara kerana tuntutan kerja dan memenuhi jemputan rasmi kepimpinan antarabangsa.

Iklan
Iklan

“Orang kritik kata saya banyak ‘berjalan’, ingat saya pergi senang-senang, pergi bercuti ‘happy’ ke? Saya pergi sebab kerja.

“Sebagai Perdana Menteri, saya banyak ‘berjalan’ kerana dijemput. Kita ada suara, kita negara bebas dan merdeka. Apa guna merdeka kalau tidak berani bercakap,” katanya.

Iklan

Anwar disambut penyokong pada program Rapat Umum 27 Tahun Reformasi Peringkat Negeri Johor.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Program Rapat Umum 27 Tahun Reformasi Peringkat Negeri Johor di sini pada Sabtu.

Iklan

Anwar turut memaklumkan bahawa beliau akan berlepas ke Doha, Qatar, pada Ahad, selepas menerima pesanan daripada Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani bagi membincangkan situasi kemanusiaan di Palestin berikutan serangan berterusan rejim Zionis.

Menurutnya, rakyat wajar memahami pendirian kerajaan yang konsisten menyampaikan sumbangan kepada negara-negara berdepan bencana dan krisis kemanusiaan.

“Saya tak faham bila orang kata Anwar asyik bantu Gaza. Kita ini manusia, ada masa mungkin kita pula perlukan bantuan antarabangsa.

“Pakistan dilanda banjir, Myanmar gempa bumi, walaupun kita tak setuju politik di sana, kita tetap bantu kerana ada orang mati, ada orang sakit,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kerajaan tetap menyalurkan bantuan dalam negara, termasuk ke Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu dengan jumlah peruntukan yang jauh lebih tinggi berbanding ketika ditadbir pembangkang.

Anwar turut menekankan kepentingan rakyat berbilang kaum di Malaysia untuk mempelajari dan menguasai penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi serta kebangsaan.