Kemalangan di Plaza Tol SKVE bongkar penemuan dadah

Iklan
Kereta dipandu suspek terbalik selepas melanggar sebuah kenderaan lain dalam kemalangan di Plaza Tol Telok Panglima Garang, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) pada Jumaat.

KUALA LANGAT – Kemalangan membabitkan dua kereta di Plaza Tol Telok Panglima Garang, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), pada Jumaat membongkar penemuan dadah dalam sebuah kenderaan yang dipandu seorang lelaki tempatan.

Suspek berusia lingkungan 40-an itu turut didapati tidak mempunyai lesen memandu ketika pemeriksaan dijalankan pihak polis.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi, berkata dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, kereta jenis Chery dipandu suspek melanggar belakang sebuah Toyota Corolla Cross yang sedang memperlahankan kenderaan di lorong tol.

“Akibat itu, kereta suspek kemudian merempuh tembok pembahagi antara plaza tol sebelum terbalik.

Iklan

“Pemeriksaan lanjut menemukan dadah disyaki jenis ganja seberat 1.07 gram dan syabu seberat 1.17 gram di dalam kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pemandu wanita yang dilanggar kereta suspek bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Iklan

Suspek berusia lingkungan 40-an itu turut didapati tidak mempunyai lesen memandu ketika pemeriksaan dijalankan pihak polis.

“Suspek cedera di bahagian kaki, muka dan tangan sebelum dihantar ke Hospital Banting untuk rawatan.

“Selain itu, pemeriksaan turut mendapati suspek tidak memiliki lesen memandu yang sah,” katanya.

Menurutnya, suspek telah ditahan namun masih menerima rawatan di hospital.

“Setakat ini, tiada pengakuan daripada suspek yang menyatakan dia memandu di bawah pengaruh dadah. Bagaimanapun, sampel darah dan air kencing telah diambil untuk mendapatkan laporan pakar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

Mohd Akmalrizal turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kuala Langat, Inspektor Nor Baiti Mustafa di talian 014-5006072 atau 03-31872222.