Terengganu, Kluang simbol kesejahteraan rakyat Malaysia

Iklan
Terengganu dinobat negeri paling bahagia dengan skor 8.64 dalam Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2024.

LAPORAN Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2024 yang diumumkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) membuktikan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan dalam landskap pembangunan negara.

Terengganu dinobatkan sebagai negeri paling bahagia dengan skor 8.64, mengatasi Johor (8.08) dan Negeri Sembilan (8.01).

Iklan
Iklan

Rekod tersebut bukan sekadar angka, tetapi mencerminkan tahap kepuasan hidup rakyat terhadap aspek kesihatan, keselamatan, persekitaran, hubungan sosial dan perkhidmatan asas yang dinikmati.

Lebih menarik, daerah Kluang di Johor mencatat skor tertinggi di seluruh negara iaitu 9.83, diikuti Raub (9.52) dan Mersing (9.50).

Iklan

Secara tidak langsung membuktikan kawasan luar bandar atau separa bandar mampu menawarkan kualiti hidup yang tinggi apabila disokong dengan infrastruktur, perkhidmatan awam dan suasana sosial yang harmoni.

Sebanyak 36 daerah di seluruh negara dilaporkan berada dalam kategori 'sangat bahagia' dan ia menjadi satu petanda positif bahawa inisiatif kerajaan semakin memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat.

Iklan

Di sebalik pencapaian tersebut, usaha berterusan diperlukan bagi memastikan jurang kebahagiaan antara kawasan bandar dan luar bandar serta antara negeri, dapat dikurangkan kerana kesejahteraan bukan hanya milik segelintir, tetapi hak semua rakyat Malaysia.

Pihak berkuasa tempatan disaran menjadikan dapatan MHI sebagai panduan dalam merangka dasar dan perancangan pembangunan komuniti yang lebih inklusif dan seimbang.

Tumpuan perlu diberi kepada aspek kehidupan yang memberi impak langsung kepada rakyat seperti kesihatan mental, keselamatan, alam sekitar dan integrasi sosial.

Kesejahteraan rakyat bukan hanya ukuran kebahagiaan, tetapi asas kepada kestabilan, keharmonian dan kemajuan sesebuah negara.