Tukang kebun maut terminum racun disangka air minuman

Iklan
Seorang tukang kebun maut selepas dipercayai terminum racun ketika melakukan kerja-kerja meracun di sebuah kebun kelapa sawit.

SABAK BERNAM - Seorang tukang kebun maut selepas dipercayai terminum racun ketika melakukan kerja-kerja meracun di sebuah kebun kelapa sawit di Sungai Air Tawar di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kematian lelaki warga tempatan berusia 42 tahun itu kira-kira jam 6.47 petang Khamis.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terminum racun yang disangka air minuman pada sebelah pagi waktu kejadian.

"Racun itu berada dalam botol air mineral dan mangsa ketika itu menjalankan kerja meracun sawit di sekitar kebun jagaannya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Bagaimanapun, katanya, mangsa kemudian mengadu sakit pada hari sama dan mendapatkan rawatan lanjut di hospital berdekatan.

Menurut Md Yusof, proses bedah siasat telah dijalankan oleh pegawai perubatan Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh.

Iklan

Kata beliau, punca sebenar kematian belum dapat disahkan kerana perlu menunggu keputusan laporan makmal.

"Kes ketika ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," ujarnya.

Tegas beliau, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan secara menyeluruh.

"Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menyalurkannya kepada polis bagi membantu siasatan," tambah beliau.