WALAUPUN sudah 52 tahun meninggal dunia, karya Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee terus mekar dalam dunia seni tanah air.
Ia terbukti apabila baru-baru ini program P. Ramlee: Lagenda Merentas Zaman anjuran Syarikat Manggis dan Jalan Negara di Taman Melawati, Kuala Lumpur selama tiga hari bermula 30 Ogos lalu mendapat sambutan menggalakkan.
Manggis dalam satu kenyataan memaklumkan, sepanjang program itu lebih 1,000 pengunjung memenuhi Lorong Seni Jalan Negara Kita di kawasan perumahan tersebut untuk menyaksikan pelbagai acara yang disediakan.
Program itu turut menyaksikan penglibatan lebih 50 pelajar seni serta komuniti tempatan dalam penghasilan karya seni, muzik dan aktiviti interaktif.
Acara ini mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Selangor, Pertubuhan Swadaya Malaysia, A.P Art Gallery, Westar Art & Stationery, The One Academy, Tanahair Film/Legasi Podcasts, KL Sketch Nation dan Vibes & Beats Academy.
Program tersebut memberi peluang kepada pengunjung menilai inisiatif itu sebagai wadah memperkukuh warisan budaya serta memperkenalkan semula karya agung Allahyarham P. Ramlee kepada generasi baharu.
Antara program yang menarik perhatian ialah Pasar Bujang Lapok, Sarapan Tiga Abdul dan Malam Lagenda.
Pasar Bujang Lapok merupakan bazar nostalgia berkonsepkan zaman P. Ramlee, menampilkan hasil karya seni serta barangan eksklusif daripada KL Sketch Nation yang diinspirasikan oleh babak-babak filem beliau.
Sarapan Tiga Abdul pula ialah sesi santai perkongsian antara generasi dengan jemputan khas termasuk pelakon senior Norlia Ghani, anak-anak seniman A.R. Tompel, serta keluarga yang mempunyai pertalian rapat dengan Tan Sri P. Ramlee. Turut hadir ialah waris kepada rakan karib Allahyarham yang berkongsi kisah, pengalaman dan memori peribadi bersama Seniman Agung tersebut.
Malam Lagenda menampilkan persembahan muzik oleh Melawati Symphony Orchestra bersama bakat muda dengan lagu-lagu ikonik P. Ramlee. Turut diadakan ialah pameran karya seni pelajar The One Academy yang diinspirasikan daripada babak filem beliau.
Selain itu, siri Legasi Podcast – Sembang-Sambung anjuran Tanahair Film pada 31 Ogos 2025 menampilkan Adlin Aman Ramlie dan Khairul Anwar Salleh sebagai hos bersama dengan tetamu jemputan Roslan Aziz, membincangkan perjalanan karier, muzik dan legasi P. Ramlee.
Pengunjung daripada pelbagai lapisan umur turut berkumpul, bergelak ketawa dan menikmati suasana kekeluargaan sambil menonton karya agung P. Ramlee melalui program Wayang Pacak yang menayangkan filem Tiga Abdul dan Seniman Bujang Lapok pada jam 9 malam.
Sambutan hangat ini membuktikan bahawa P. Ramlee: Lagenda Merentas Zaman menjadi platform dinamik yang menghubungkan warisan silam dengan aspirasi masa depan, sekali gus menyemarakkan rasa bangga terhadap seni, budaya dan identiti kebangsaan.