Remaja 13 tahun ditahan simpan 23 senjata api, didakwa cenderung lakukan tembakan beramai-ramai

Iklan
Antara senjata api yang dirampas dari rumah seorang remaja lelaki berusia 13 tahun di Washington, Amerika Syarikat.

WASHINGTON – Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan polis Washington pada minggu lalu selepas didapati menyimpan 23 laras senjata api, peluru dan catatan yang menunjukkan kecenderungan melakukan tembakan beramai-ramai.

Menurut Pejabat Sheriff Pierce County, tangkapan itu dibuat selepas pasukan pemantau internet mengesan hantaran media sosial berbaur ancaman yang dimuat naik remaja berkenaan.

Iklan
Iklan

Jurucakap pejabat sheriff, Deputi Carly Cappetto berkata, serbuan Unit SWAT ke rumah suspek di Parkland mendapati senjata api disusun di dinding dan tersebar di beberapa bahagian rumah.

“Sebahagian besar senjata tidak mempunyai nombor siri dan dipercayai dicetak menggunakan pencetak 3D. Turut ditemui adalah kelopak peluru yang mempunyai tulisan berunsur penembak sekolah,” katanya lapor CNN, baru-baru ini.

Iklan

Pihak berkuasa turut mendedahkan bilik remaja itu dipenuhi gambar serta catatan yang meniru perilaku penembak sekolah terdahulu.

Suspek kini ditahan di pusat tahanan juvana di Tacoma dan dihadapkan ke mahkamah dengan lima pertuduhan termasuk ugutan serta pemilikan senjata api secara haram. Namun, dia mengaku tidak bersalah.

Iklan

Ibu bapa remaja itu menegaskan anak mereka tidak berniat mencederakan sesiapa dan mendakwa hantaran di media sosial hanya dibuat untuk kelihatan “cool” dalam kalangan rakan sebaya.

Pihak pendakwaan masih menimbang untuk mengambil tindakan ke atas ibu bapa suspek kerana gagal menyimpan senjata dengan selamat seperti termaktub dalam undang-undang Washington.

Kes ini menambah kebimbangan masyarakat Amerika Syarikat ketika tahun persekolahan baru sahaja bermula dengan ancaman keganasan bersenjata di sekolah terus menghantui ibu bapa dan pelajar.-Agensi