MADIUN - Misteri kehilangan wanita dan anak lelakinya sejak lebih sebulan lalu akhirnya terungkai selepas pihak berkuasa Indonesia menahan seorang lelaki yang disyaki membunuh kedua-dua mangsa.
Lelaki berinisial DBM itu dipercayai merupakan suami siri mangsa dikenali sebagai DH, 30, dan merupakan bapa kandung AG yang berusia empat tahun.
Ketua Polis Madiun, AKBP Rizki Pratama mengesahkan penahanan suspek yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan dua beranak itu selepas mereka dilaporkan hilang oleh keluarga sejak 20 September lalu.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan," ujarnya.
Berdasarkan hasil siasatan awal, pembunuhan DH dan AG dipercayai dilakukan di sebuah hotel di wilayah Kota Madiun, Jawa Timur.
DH berasal dari Kecamatan Megamendung, Kabupaten Bogor, Jawa Barat manakala DBM merupakan penduduk Kelurahan Winongo, Kecamatan Manguharjo, Kota Madiun.
Pasangan itu tinggal bersama di Madiun selepas bernikah secara siri iaitu perkahwinan yang dilangsungkan mengikut hukum agama Islam, tetapi tidak didaftarkan secara rasmi kepada pihak berkuasa.
Sehingga Ahad, mayat DH dan AG masih belum dijumpai.
Polis dari Polda Jawa Timur bersama pasukan penyiasat tempatan sedang meneruskan siasatan dan operasi pencarian bagi mengesan lokasi mayat kedua-dua mangsa yang dipercayai disembunyikan atau dibuang.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan suspek mengheret sebuah kantung besar berwarna hitam ketika keluar dari hotel berkenaan turut menjadi antara petunjuk penting dalam siasatan kes itu. – Agensi