SINGAPURA - Seorang wanita yang menggunakan tandas perempuan di Perpustakaan Medicine+Science Universiti Nasional Singapura (NUS) terkejut apabila menemui lubang mencurigakan di dinding kubikel yang didudukinya pada 2 September lalu.
Menurut perkongsiannya di platform Xiaohongshu, dia pada mulanya ternampak cahaya berkelip dari dinding kubikel kira-kira jam 8 malam (waktu tempatan) dan menyangka ia kemungkinan lensa kamera tersembunyi.
Wanita itu kemudian mengambil gambar jarak dekat objek berkenaan dan menghantarnya kepada rakannya.
Tidak lama kemudian, cahaya itu hilang seketika sebelum muncul kembali.
Bimbang sedang diperhatikan, dia menutup lubang tersebut dengan tisu namun cahaya berkelip itu kembali kurang daripada seminit.
Dia menghubungi talian kecemasan kampus sekitar 8.35 malam dan menunggu pihak keselamatan yang tiba 20 minit kemudian.
Pemeriksaan tidak menemui sebarang peranti rakaman, hanya objek putih kecil seperti pin di dalam lubang tersebut.
Jurucakap NUS memaklumkan siasatan mendapati objek berkilat itu sebenarnya skru pemegang tisu dari kubikel bersebelahan dan bukan kamera tersembunyi.
Lubang tersebut telah ditutup oleh pasukan penyelenggaraan, dan pihak universiti turut menawarkan kaunseling kepada wanita terbabit bagi menangani trauma kejadian. – Agensi