BEKAS jurulatih perseorangan badminton negara, Wong Tat Meng dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas terbabit dalam kemalangan motosikal di Sydney, Australia pada Ahad.
Menurut laporan media di Australia, kemalangan tersebut melibatkan dua buah motosikal dan seorang lagi penunggang disahkan maut di lokasi kejadian.
Tat Meng menerima rawatan awal daripada paramedik sebelum dihantar dengan helikopter ke hospital dan kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Tat Meng sebelum ini pernah membimbing pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia sewaktu pemain kelahiran Kedah itu bergerak secara profesional.
Di bawah tunjuk ajarnya, Zii Jia berjaya kembali berada dalam kelompok 10 terbaik dunia, merangkul beberapa kejuaraan serta membawa pulang pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024.
Namun, mereka berpisah pada penghujung tahun lalu.
Selain itu, Tat Meng juga pernah menggalas tugas sebagai jurulatih pasukan kebangsaan Hong Kong dan Korea Selatan.
Beliau turut menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam dua tempoh berbeza, iaitu dari 2003 hingga 2011 serta 2013 hingga 2016, dengan membimbing perseorangan lelaki dan wanita negara.