MANCHESTER City didapati bersalah terhadap 114 daripada 115 pertuduhan yang dikenakan Liga Perdana Inggeris (EPL) berkaitan pelanggaran peraturan kewangan, sekali gus mencetuskan gegaran besar dalam bola sepak England.
Menurut laporan The Athletic pada Jumaat, tiada hukuman diputuskan setakat ini, namun kelab juara England itu difahamkan bersedia mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.
EPL bagaimanapun enggan mengulas perkembangan terbaharu berhubung kes yang telah berlarutan selama kira-kira dua tahun itu.
City didakwa oleh EPL pada 2023 susulan siasatan terhadap dakwaan pelanggaran peraturan kewangan antara 2009 hingga 2018.
Prosiding di hadapan suruhanjaya bebas bermula pada September 2024 dengan kelab itu berdepan dakwaan gagal menyediakan maklumat kewangan yang tepat termasuk butiran pembayaran kepada pemain dan jurulatih.
Mereka turut didakwa melanggar peraturan kelestarian kewangan selain gagal memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan dijalankan.
Bagaimanapun, City sejak awal menafikan kesemua pertuduhan tersebut dan menegaskan bahawa mereka mempunyai bukti kukuh untuk menyokong pendirian kelab.
Dalam kenyataan terbaharu pada Jumaat, jurucakap City berkata, pendirian kelab masih kekal sama sambil menegaskan proses berkenaan belum selesai sepenuhnya.
"Proses Liga Perdana masih berjalan, dengan beberapa perkara penting masih perlu diselesaikan dan tertakluk kepada kerahsiaan ketat.
"Justeru, pendirian Manchester City kekal konsisten dengan kenyataan kelab pada Februari 2023," katanya.
Kes berkenaan turut mendapat perhatian selepas media Jerman, Der Spiegel, menerbitkan dokumen yang didakwa menunjukkan beberapa urusan kewangan City.
Antara dakwaan yang muncul ialah pendapatan penajaan daripada syarikat berpangkalan di Abu Dhabi, Etihad dan Etisalat didakwa dinaikkan dengan menyamarkan pelaburan terus daripada Abu Dhabi United Group sebagai hasil penajaan.
Dokumen lain turut didakwa menunjukkan bekas pengurus City, Roberto Mancini menerima bayaran di luar rekod melalui yuran perundingan daripada sebuah kelab di Abu Dhabi.
Pada 2020, Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) turut mengenakan penggantungan dua tahun daripada pertandingan Eropah terhadap City kerana pelanggaran peraturan kewangan, selain denda.
Bagaimanapun, hukuman tersebut kemudian dibatalkan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Jika keputusan terhadap City kekal selepas proses rayuan, kelab itu berdepan kemungkinan dikenakan hukuman berat termasuk potongan mata yang besar, malah tidak menolak kemungkinan disingkirkan daripada EPL.
Everton dan Nottingham Forest sebelum ini masing-masing dikenakan hukuman potongan mata pada musim 2023/24 atas pelanggaran peraturan keuntungan dan kelestarian kewangan.
Sebarang hukuman berat terhadap City juga berpotensi memberi kesan besar terhadap masa depan barisan bintang mereka, termasuk penyerang prolifik, Erling Haaland.
Malah, kelab lain turut berpotensi mengambil tindakan bagi menuntut kejuaraan yang pernah dimenangi City dilucutkan serta menuntut pampasan, bergantung kepada keputusan akhir kes berkenaan.