PUTRAJAYA – Kerajaan memperluas sesi libat urus bagi mendapatkan pandangan masyarakat sebelum Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli dibawa ke Parlimen hujung tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, proses libat urus seluruh negara termasuk di Selangor, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak sehingga akhir September.
“Tujuan kita jelas, iaitu mendengar pandangan seramai mungkin pihak. Selain hadir ke sesi libat urus orang ramai juga boleh memberi pandangan dan cadangan melalui portal khas, https://petari.bheuu.gov.my yang telah disediakan,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi libat urus Tribunal Antibuli di sini pada Khamis.
Azalina berkata, semua input itu akan dikumpul dan dinilai sebagai asas kepada draf RUU yang sedang disediakan kerajaan.
“Kita mahu pembentukan dasar ini benar-benar mencerminkan kehendak masyarakat.
"Oleh itu, suara awam sangat penting, bukan sekadar luahan emosi tetapi kritikan dan cadangan konstruktif untuk kita teliti,” ujarnya.
Menurut beliau, kerajaan menyasarkan RUU Antibuli dibentangkan dalam sidang Parlimen Oktober hingga Disember.
“Jika diluluskan di kedua-dua Dewan, tribunal anti-buli boleh dilaksanakan tahun depan. Ini bukti kesungguhan kerajaan mahu bertindak pantas,” tegasnya.
Jelas Azalina, cadangan penubuhan Tribunal Antibuli adalah pelengkap kepada sistem sedia ada di sekolah khususnya dalam menangani kes buli yang tidak dilapor.
“Tribunal ini akan menjadi sistem perantara antara KPM dan mahkamah," katanya.