SEREMBAN - Kegiatan sebuah kilang di Mantin di sini, menjalankan aktiviti pemindahan minyak masak paket bersubsidi secara haram ke dalam botol terbongkar apabila dikesan pihak berkuasa.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, dalam serbuan Ops Tiris 2025 itu, lebih 4,000 paket minyak masak pelbagai jenama telah dirampas.
“KPDN telah menerima serahan kes daripada Pasukan Gerakan Am Batalion 5 Polis Diraja Malaysia hasil daripada serbuan di kilang terbabit pada Selasa lalu.
“Serbuan ini dijalankan bertujuan membanteras penyelewengan dan penyalahgunaan subsidi minyak masak paket oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, siasatan awal mendapati premis berkenaan disyaki menjalankan kegiatan pemindahan minyak masak paket bersubsidi ke dalam botol minyak masak lima kilogram.
Tambahnya, bagi mengaburi pihak berkuasa, kegiatan itu dilakukan pada waktu malam.
“Kita turut merampas mesin membungkus minyak masak botol dan beberapa peralatan pembungkusan serta beberapa dokumen perniagaan yang disyaki digunakan dalam urusan penyelewengan tersebut.
“Nilai keseluruhan rampasan melebihi RM400,000 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Tambahnya lagi, semua pihak diingatkan bahawa sebarang bentuk penyalahgunaan barang kawalan bersubsidi merupakan kesalahan serius yang akan dikenakan tindakan undang-undang tegas.
Beliau berkata, orang awam turut digesa menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan minyak masak atau barang kawalan lain melalui saluran rasmi KPDN.