SHAH ALAM - Tiada kompromi terhadap pihak yang menyalahgunakan hak berhimpun untuk kepentingan politik sempit, mencetuskan huru-hara atau menyemai kebencian melalui maklumat palsu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau telah mengarahkan pihak berkuasa segera bertindak membawa pelaku menyerang sehingga mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman ke muka pengadilan.
Menurutnya, insiden menyerang sehingga mencederakan Sulizmie Affendy adalah satu tindakan keji, tidak bertamadun dan sama sekali tidak boleh diterima.
"Saya mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan ini dan telah mengarahkan pihak berkuasa segera bertindak membawa pelaku ke muka pengadilan.
"Kerajaan sentiasa menghormati hak rakyat berhimpun secara aman seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan, namun kebebasan ini tidak boleh disalahguna," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, Sulizmie Affendy dilaporkan cedera semasa melaksanakan pemantauan kawalan operasi pemotongan bekalan elektrik di Kampung Sungai Baru pada Khamis.
Sulizmie dilihat mengalami luka berdarah di bahagian muka ketika cuba suraikan penduduk yang mendesak masuk ke kawasan operasi pemotongan bekalan elektrik di beberapa rumah di kampung berkenaan.
Tambah Saifuddin Nasution, Malaysia merupakan negara berdaulat yang tertakluk kepada undang-undang, setiap warga mesti menghormati prinsip itu dan mengelakkan sebarang tindakan yang bercanggah dengan peraturan negara.
"Keselamatan rakyat, keamanan negara dan integriti pasukan keselamatan adalah keutamaan yang wajib dipertahankan," katanya.