SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor menyifatkan tindakan pengosongan terhadap 179 penduduk Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur pada Khamis sebagai tidak berperikemanusiaan.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, operasi berasaskan perintah mahkamah Order 89 itu tidak sepatutnya dilaksanakan secara tergesa-gesa kerana rayuan penduduk dijadualkan pada 3 Oktober depan.
“Saya menghormati keputusan mahkamah, namun tindakan pemaju yang menghalau penduduk dari rumah sendiri seolah-olah mereka adalah penceroboh adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
“Ia menunjukkan bagaimana hak rakyat dinafikan di tanah mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, apa yang berlaku di Kampung Sungai Baru menjadi gambaran jelas sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) diluluskan pada sidang Parlimen Oktober depan.
Katanya, RUU itu memberi kuasa penuh kepada pemaju, manakala rakyat pula kehilangan perlindungan undang-undang sehingga boleh dihalau pada bila-bila masa tanpa ruang pembelaan yang adil.
“Saya menzahirkan simpati dan solidariti penuh kepada penduduk Kampung Sungai Baru yang kini berdepan penderitaan akibat pengosongan mendadak ini.
“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Selangor untuk menjadikan isu ini sebagai pengajaran awal dan bersama-sama bangkit membantah RUU URA,” tambahnya.