Isu Kampung Sungai Baru: Syed Badli Shah kecam campur tangan luar, desak siasatan menyeluruh

Iklan
Syed Badli Shah

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampung Baru merangkap Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman mengecam keras tindakan pihak luar yang didakwa mencetuskan provokasi di tapak pembangunan semula Sungai Baru pada Khamis.

Beliau berkata, insiden berkenaan bukan sahaja mengganggu proses pembangunan, malah menyebabkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera ketika cuba menyuraikan kumpulan terbabit.

Iklan
Iklan

"Isu pembangunan semula Sungai Baru telah sengaja dipolitikkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dengan mencetuskan ketegangan umum untuk mengecam kerajaan sedia ada.

"Majoriti yang hadir bukanlah penduduk setempat, sebaliknya orang luar yang termakan hasutan kononnya kerajaan bertindak zalim mengusir penduduk," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Sebelum ini, Sulizmie Affendy dilaporkan cedera semasa melaksanakan pemantauan kawalan operasi pengosongan Kampung Sungai Baru pada Khamis.

Sulizmie dilihat mengalami luka berdarah di bahagian muka ketika cuba menyuraikan penduduk yang mendesak masuk ke kawasan operasi pengosongan di beberapa rumah di kampung berkenaan.

Iklan

Syed Badli berkata, sehingga kini sebanyak 304 premis sudah bersetuju mengosongkan unit masing-masing secara sukarela dengan pampasan yang setimpal, sementara hanya baki 24 lot masih tertangguh.

Menurutnya, Mahkamah Tinggi telah menetapkan 11 September ini sebagai tarikh pelaksanaan Writ Milikan Kosong kali kedua terhadap baki lot tersebut.

"Namun, tindakan pihak berwajib yang mendapat kebenaran mahkamah untuk mengosongkan unit-unit terbabit telah dihalang dengan provokasi," tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang didakwa menghasut hingga mencetuskan insiden berkenaan.

Terdahulu, isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru, dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.

Sebahagian penduduk, terutama penghuni rumah teres, tidak bersetuju dengan kadar pampasan RM400 sekaki persegi yang ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.