ALOR GAJAH – Pendedahan awal mengenai kenegaraan dan kepimpinan kepada generasi muda amat penting bagi melahirkan pengundi baharu yang lebih bertanggungjawab.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, langkah itu sekali gus mampu mengelakkan negara daripada berdepan krisis sosial dan politik pada masa depan.
Menurutnya, belia hari ini merupakan cerminan masa depan negara yang bakal menentukan hala tuju Malaysia apabila mereka layak menjadi pengundi dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.
"Semua orang akan mempunyai ruang dan peluang untuk memilih pemimpin, termasuklah anak-anak kita yang akan menjadi pengundi baharu.
"Tanggungjawab itu besar dan mereka perlu bersedia dari sekarang supaya faham akan peranan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) peringkat negeri Melaka di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Lendu, di sini pada Khamis.
Tegasnya, pendedahan berterusan perlu diberikan agar belia tidak terjebak dengan budaya rusuhan seperti yang berlaku di Indonesia dan Nepal baru-baru ini.
"Kita tidak mahu perkara itu berlaku di negara tercinta ini.
"Pendedahan awal akan membantu membentuk jati diri belia supaya mereka berani, berilmu dan mampu menggalas amanah negara," ujarnya.
Program selama tiga hari yang bermula pada Selasa lalu menghimpunkan lebih 800 pelajar Tingkatan Lima dari 12 buah sekolah menengah di negeri ini.