KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bersedia mengatur gerak Pasukan Gerakan Am (PGA) sekiranya diperlukan bagi mengawal keadaan semasa operasi perobohan Kampung Sungai Baru di sini.
Timbalan Pengarah JKDNKA (PGA) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, pihaknya akan memberikan bantuan sekiranya diperlukan oleh kontinjen terlibat.
Iklan
Iklan
“Sekiranya kita mendapat permintaan daripada kontinjen semestinya PGA akan bantu,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penutupan Ujian Rentas Halangan KDNKA di Markad Briged Tengah PGA Cheras di sini pada Khamis.
Terdahulu, kekecohan tercetus apabila sekumpulan penduduk enggan memberi kerjasama semasa operasi pemotongan bekalan elektrik dijalankan di beberapa rumah di Kampung Sungai Baru.
Dalam insiden berkenaan, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman mengalami kecederaan di muka ketika cuba menyuraikan penduduk yang merempuh kawalan polis untuk memasuki kawasan operasi.
Lokasi sekitar kampung terbabit dikawal ketat oleh polis seawal jam 7 pagi dengan anggota keselamatan turut mengarahkan penduduk bersurai bagi memastikan operasi berjalan lancar.
Difahamkan, setakat jam 11 pagi, suasana di lokasi kejadian masih tegang dengan penduduk enggan bersurai dan masih mendesak untuk masuk ke kawasan terbabit.