JIANGSU– Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera selepas telefon pintar miliknya tiba-tiba meletup dan terbakar ketika menonton video di rumah pada Ahad.
Menurut keluarga, kanak-kanak itu mengalami melecur pada tangan kiri dan kaki.
Rekod perubatan menunjukkan kulitnya ada yang terbakar, lepuh, dan kawasan kulit mati mula mengelupas.
Telefon terbabit ialah model yang dilancarkan pada Disember 2022 dan digunakan secara normal lebih setahun tanpa sebarang pengubahsuaian atau pembaikan.
Ketika kejadian, telefon itu tidak dicas. Kanak-kanak tersebut terus melompat di atas sofa apabila peranti itu tiba-tiba meletup dan terbakar.
Kejadian itu juga menyebabkan kerosakan pada sofa apabila kanak-kanak itu menolak telefon yang terbakar.
Keluarga telah menghubungi perkhidmatan syarikat telefon pintar berkenaan.
Pihak syarikat memberitahu bahawa sisa telefon perlu dihantar ke pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menentukan punca letupan.
Setakat Isnin (8 September), keluarga masih belum menerima sebarang sampel untuk diuji.
Perkhidmatan pelanggan syarikat itu berkata, kejadian telefon terbakar adalah sangat jarang berlaku.
Mereka menambah bahawa punca mungkin melibatkan beberapa faktor seperti kualiti bateri, reka bentuk litar, impak luaran atau suhu tinggi, dan hanya ujian profesional yang dapat menentukan punca sebenar.
Insiden itu menjadi perhatian ramai selepas video dikongsi di Douyin dan trending di Weibo pada Selasa lalu.
Beberapa pengguna model sama meluahkan kebimbangan, manakala yang lain berpendapat ia mungkin kes terpencil.
Di bawah Undang-Undang Kualiti Produk China, pengeluar bertanggungjawab jika produk rosak menyebabkan kecederaan.- Agensi