SHANGHAI – Seorang bayi lelaki di China tidak dapat didaftarkan sijil lahir serta jadual penerimaan vaksin walaupun sudah berusia setahun kerana ibu bapanya gagal mencapai persetujuan mengenai nama.
Kes berkenaan didengar di Mahkamah Rakyat Pudong New Area, Shanghai melibatkan pasangan yang berkahwin pada 2023 dan dikurniakan anak pada tahun berikutnya.
Namun, hubungan mula retak apabila kedua-duanya bertegas mahu menamakan anak mengikut kehendak masing-masing.
Bukti mahkamah menunjukkan mereka pergi berasingan ke hospital untuk mendaftarkan nama pilihan sendiri tetapi kedua-dua permohonan ditolak kerana tidak mematuhi peraturan.
Hakim menegaskan sijil kelahiran adalah dokumen penting untuk identiti sah seorang bayi dan kelewatan akibat konflik peribadi dianggap menjejaskan hak kanak-kanak.
Mahkamah turut mengingatkan pasangan itu agar tidak menjadikan anak sebagai bahan pertikaian emosi atau mengabaikan tanggungjawab sebagai penjaga.
Bagi melindungi hak kanak-kanak, mahkamah mengeluarkan “Notis Penjagaan Kanak-Kanak Bawah Umur” dan mengarahkan kedua-duanya bekerjasama mendapatkan sijil lahir dalam tempoh ditetapkan.
Bagaimanapun, pasangan itu kembali bertelagah mengenai pemilikan dokumen asal sehingga mahkamah memutuskan sijil kelahiran disimpan sementara di mahkamah sebelum diserahkan kepada ibu untuk menguruskan pendaftaran isi rumah wajib.
Kes perceraian luar biasa ini tular di media sosial China sehingga ramai netizen mempersoalkan bagaimana isu kecil seperti nama mampu menghancurkan rumah tangga.
Tidak cukup dengan itu, ada juga kalangan netizen yang menyifatkan pasangan sebegini tidak layak mempunyai anak. - Agensi