KOTA BHARU – Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan akan bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas pada Muktamar Tahunan parti itu yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Beliau berkata, keputusan sama ada kekal atau tidak dalam barisan kepimpinan parti sepenuhnya terletak di tangan para perwakilan.
“Saya menawarkan diri, tetapi terpulanglah kepada perwakilan, kalau terpilih maknanya saya kena buat kerja dan jika tidak sekali pun, saya tetap akan terus berkhidmat kepada parti.
“Setiap keputusan yang dibuat oleh perwakilan, itu adalah yang terbaik bagi saya,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.
Muktamar Tahunan Pas kali ke-71 bakal berlangsung dari 11 hingga 16 September ini di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah.
Mengulas rekod penyertaannya, beliau menjelaskan sudah lama berada dalam barisan AJK Pas sejak awal 2000-an.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui Pas kini mempunyai ramai tokoh dan kepakaran baharu yang boleh diketengahkan, sekali gus menafikan persepsi bahawa parti itu ‘tepu’ dengan wajah lama.
“Mungkin orang-orang baru akan diberikan peluang.
"Tapi Pas daripada dulu bukan parti yang mengejar jawatan, dengan cara inilah kami berjaya menjadi parti terbesar di Parlimen,” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan kepimpinan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, masih mampu memimpin walaupun berdepan masalah kesihatan.
“Kami bukan nak suruh dia berlari sana sini, kami mahukan buah fikiran dan nasihat beliau.
“Walaupun dalam keadaan berkerusi roda sekalipun, beliau tetap boleh memberi panduan kepada Pas,” katanya.