SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali dan tiga bekas akauntan syarikat itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas 264 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM40 juta bermula 2020 hingga tahun lalu.
Nasiruddin, 66, Hamimah Yakub, 73, Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45 dan suami Asmat iaitu Mohd Khushairi Osman, 54, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca secara berasingan, selama lebih lima jam di hadapan Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Berdasarkan pecahan, Nasiruddin didakwa atas 109 pertuduhan membabitkan nilai keseluruhan RM14 juta manakala Hamimah (60 kes), Asmanira (41 kes- RM5 juta) dan Mohd Khushairi (54 kes- RM20.3 juta)
Mengikut semua pertuduhan, mereka didakwa menerima dan memindahkan hasil aktiviti haram melibatkan 10 akaun milik akaun milik tertuduh, GISB Mart Sdn Bhd, GISB Travel and Tour Sdn Bhd dan sebuah pusat penjagaan kanak- kanak di Bandar Baru Bangi, Rawang dan Subang Perdana antara 2020 hingga 2024.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) akta sama.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Semasa prosiding, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharih Affendi, Mohd Izham Mohd Marzuki dan P Sangari memberitahu pertuduhan termasuk dalam kes yang tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, sekiranya mahkamah mahu mengguna pakai budi bicara untuk menawarkan jaminan, mereka mencadangkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.
Termasuk syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman sekali setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Sementara itu, peguam, Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili semua tertuduh merayu anak guamnya dikenakan jaminan yang rendah dengan alasan tidak berkemampuan.
Beliau berkata, majoriti ahli yang dikaitkan dengan GISBH termasuk keempat-empat tertuduh telah melalui rehabiltasi dan skim di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Selepas mendengar permohonan daripada semua pihak, Hakim, Awang Kerisnada membenarkan Hamimah dan Asmanira diikat jamin sebanyak RM20,000 sementara Mohd Khushairi sebanyak RM25,000 dengan masing-masing dua penjamin.
“Tiada jaminan dibenarkan kepada Nasiruddin memandangkan tertuduh ditahan bagi kes bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA,” kata hakim.
Beliau kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada 6 dan 24 November depan.
Pada Selasa, Hamimah didakwa atas sembilan pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM3.89 juta antaranya dari akaun bank peribadi dan milik masing-masing satu pasar raya dan syarikat.
Mahkamah membenarkan jaminan sementara RM5,000 bagi pertuduhan ini sahaja bagi mengelakkan tertuduh ditahan.