KUANTAN- Lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tuduhan merogol dan melakukan amang seksual ke atas kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun pada April lalu.
Tertuduh, Roslan Sujak, 64 bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap kedua-dua pertuduhan itu.
Berdasarkan kertas pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Izzati Wan Mohd Zahari, tertuduh didakwa merogol kanak-kanak terbabit di rumahnya di Taman Pandan Perdana, di sini.
Bagi kesalahan itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 386(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dengan sebatan.
Dalam mahkamah sama, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 atas melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak itu di tepi jalan di Lorong Kampung Padang 2, di sini.
Jika sabit kesalahan, tertuduh juga berdepan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan dengan sebatan.
Pada prosiding itu, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh mengambil kira kesalahan yang dilakukan itu serius.
Ia juga mengambil kira mangsa dan tertuduh tinggal berdekatan.
Hakim Azman Mustapha membenarkan permohonan pihak pendakwaan apabila tiada jaminan ditawarkan ke atas tertuduh.
Bagaimanapun tertuduh boleh memohon untuk jaminan itu selepas melantik peguam.
Mahkamah menetapkan kes itu disebut semula 15 Oktober depan untuk lantikan peguam.