FLORIDA – Seorang wanita yang aktif di TikTok ditahan selepas didakwa menyamar sebagai jururawat untuk menjalankan prosedur kosmetik secara haram termasuk suntikan botox dan filler di sebuah gim pada Isnin minggu lepas.
Daily Mail melaporkan, suspek, Meghan R. Pagano, 38, membuka sebuah pusat kecantikan di Stuart dengan menawarkan rawatan wajah, pembuangan tatu laser serta pelbagai prosedur lain.
Perbuatan itu terbongkar apabila seorang wanita membuat aduan kepada Jabatan Kesihatan Florida (DOH) bahawa lesen perubatannya digunakan tanpa kebenaran.
Siasatan mendapati Pagano memperkenalkan dirinya sebagai jururawat bertauliah dan menunjukkan fasiliti berkenaan kepada penyiasat yang menyamar sebagai pelanggan.
Lebih membimbangkan, siasatan mendapati harga ditawarkan suspek jauh lebih murah iaitu hanya AS$7 (hampir RM30) seunit, berbanding klinik sah yang mengenakan caj antara AS$12 ( RM50) hingga AS$15 (RM64) seunit.
Jurucakap Polis Port St Lucie, Sarjan Dominick Mesiti berkata, orang ramai perlu berhati-hati dengan tawaran murah kerana rawatan tanpa kelulusan boleh mengundang risiko kesihatan serius.
"Awak tidak akan jimat banyak wang dengan pilih prosedur haram itu kerana apabila ada kesan sampingan, ia boleh memberi kesan sepanjang hayat," katanya menurut laporan CBS12.
Mesiti menambah, kes sebegini bukan kali pertama berlaku di Florida.
"Pada Julai lalu, sebuah spa kecantikan haram ditutup selepas seorang wanita mengalami lumpuh separuh wajah akibat suntikan yang dilakukan tanpa lesen. Jelas sekali ia berbahaya," ujarnya.
Pagano ditahan pada 1 September lalu dan didakwa di mahkamah sebelum dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak AS$20,000 (hampir RM85,000).
Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.