WONOGIRI - Akibat kesempitan hidup, seorang lelaki tanpa berfikir panjang bertindak melarikan wang milik sebuah bank.
Perbuatan itu dilakukan Anggun Tyasbodhi, 41, yang bekerja sebagai pemandu Bank Jateng di cawangan Wonogiri, Jawa Tengah di Indonesia pada awal bulan lalu.
Kejadian itu berlaku ketika Anggung ditugaskan untuk menghantar wakil bank tersebut untuk mengambil wang berjumlah 6 bilion rupiah (RM1.74 juta) di Pejabat Perwakilan Bank Indonesia Solo.
Ia kemudiannya ke Bank Jateng cawangan Solo untuk mengambil wang berjumlah 4 bilion rupiah (RM1.16 juta).
"Ketika pegawai itu ke tandas, Anggun bertindak membawa lari wang berjumlah 10 bilion rupiah (RM2.9 juta) menggunakan kenderaan Toyota Avanza milik bank tersebut. Individu itu tidak sempat mengejar kerana menyangka pelaku hanya mahu mengubah parkir," menurut laporan media.
Setelah seminggu diburu pihak berkuasa, Anggun akhirnya diberkas di sebuah rumah di Panggang, Kabupaten Gunungkidul, Daerah Istimewa Yogyakarta (DIY) pada Isnin.
Paling mengejutkan rumah berharga 140 juta rupiah (RM40,600) itu dibeli menggunakan hasil wang curi tersebut.
Siasatan awal mendapati pelaku menghabiskan 400 juta rupiah (RM116,000) untuk membeli rumah, perabot, kereta dan motosikal.
Baki wang berjumlah 9.6 bilion rupiah (RM2.78 juta) telah dijadikan barang bukti
Sementara itu, jirannya dikenali sebagai Wahyu mendedahkan Anggun sering merungut tentang gaji 3 juta rupiah (RM870) yang didakwa tidak mencukupi untuk menanggung isteri dan dua anaknya.
Difahamkan, suspek tersebut sudah bekerja sebagai pembandu di bank berkenaan selama tujuh tahun manakala isterinya menjadi ojek online untuk menampung kehidupan keluarga mereka. - Agensi