BEIJING – Tindakan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un membawa tandas peribadi dan memastikan setiap kerusi serta meja yang digunakan dibersihkan selepas mesyuarat rasmi, menimbulkan perhatian ramai apabila ia dikaitkan dengan usaha menghalang cubaan risikan biometrik terhadap dirinya.
Insiden itu dikesan ketika Kim menghadiri pertemuan bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin, dan Presiden China, Xi Jinping sempena sambutan ulang tahun ke-80 berakhirnya Perang Dunia Kedua di Beijing minggu lalu.
Rakaman televisyen menunjukkan sebaik sahaja Kim bangun daripada kerusi selepas berbincang selama dua jam dengan Putin, beberapa pembantu segera membersihkan meja dan kerusi berkenaan.
Menurut penganalisis, langkah itu bukan sekadar protokol keselamatan, sebaliknya sebahagian strategi untuk mengelakkan bahan genetik seperti peluh, sel kulit atau sisa biologi lain jatuh ke tangan pihak asing.
Pakar politik Korea Utara dari Institut Sejong, Peter Ward berkata, maklumat biometrik pemimpin tertinggi dianggap rahsia keselamatan negara.
“Dari DNA dan biomarker, orang boleh mengetahui banyak perkara termasuk tahap kesihatan, tabiat peribadi, malah kelemahan yang mungkin dimanipulasi dalam rundingan,” katanya.
Langkah Kim itu turut disokong laporan media Jepun yang mendakwa beliau membawa tandas sendiri dalam kereta api kebal miliknya. Kaedah sama pernah digunakan dalam pertemuan beliau dengan pemimpin Amerika Syarikat dan Korea Selatan sebelum ini.
Profesor sains forensik dari Universiti Sungkyunkwan, Lim Si-keun pula menjelaskan, identiti genetik boleh mendedahkan sama ada seseorang mempunyai penyakit kronik atau tabiat tertentu seperti pengambilan alkohol.
“Malah dengan perkembangan teknologi, kita tidak tahu sejauh mana ia boleh dimanfaatkan pada masa hadapan. Jadi adalah lebih selamat untuk menyembunyikan maklumat genetik,” ujarnya.
Putin turut dilaporkan menggunakan tandas mudah alih sendiri dan memastikan sisa biologi tidak ditinggalkan ketika lawatan rasmi. Malah, penjarakan empat meter antara beliau dan Presiden Perancis Emmanuel Macron semasa pandemik Covid-19 dikaitkan dengan keengganan Perancis menyerahkan sampel ujian Covid Putin.
Di Amerika Syarikat pula, Agensi Kaunter Risikan dan Keselamatan Nasional pernah memberi amaran mengenai risiko eksploitasi data kesihatan serta genetik oleh kuasa asing.
Jong-un sebelum ini pernah mencetuskan spekulasi kesihatan apabila tidak muncul di khalayak awam pada tahun 2020, sekali gus menimbulkan khabar angin berhubung pembedahan kecemasan yang dijalaninya.
Kehadiran anak perempuannya, Kim Ju-ae, yang berusia sekitar 13 tahun dalam lawatan ke Beijing turut dilihat sebagai langkah awal ke arah perancangan pewarisan kuasa.
Bagi penganalisis, segala tindakan Jong-un di Beijing memperlihatkan betapa seriusnya Korea Utara menjaga rahsia kesihatan dan keselamatan pemimpinnya, walaupun di hadapan sekutu terdekat seperti China dan Rusia.-Agensi