[VIDEO] Inkues Zara Qairina: Simulasi konsisten, doktor sahkan insiden jatuh - Ram Singh

Iklan

KOTA KINABALU - Peguam Datuk Ram Singh yang mewakili salah seorang daripada lima remaja dituduh berkaitan kes Zara Qairina Mahathir berpandangan bahawa berdasarkan simulasi serta gambar pelajar Tingkatan Satu itu ketika ditemui, kesannya konsisten dengan kejadian jatuh.

Katanya, dua doktor yang menjadi saksi dalam prosiding inkues pada Selasa turut mengesahkan melalui keterangan mereka bahawa memang berlaku insiden jatuh.

Iklan
Iklan

Ram Singh ketika ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Kota Kinabalu.

"Simulasi dijalankan di tingkat tiga. Kerosakan pada patung (mannequin) dijangka dapat dilihat esok sekiranya ia dapat dibawa ke mahkamah. Dari tahap kerosakan patung selepas dijatuhkan dari tingkat tiga, ia boleh dibandingkan dengan video pertama simulasi.

Iklan

"Video pertama itu dilakukan tanpa sebarang tolakan, hanya menjatuhkan patung terus dari tingkat tiga ke tingkat bawah, dan hasilnya didapati sangat konsisten dengan satu-satunya gambar bertanda I7 iaitu gambar si mati ditemui pada pagi kejadian.

"Setakat ini, ia dianggap selari, kecuali esok Inspektor Maidon Bernados dijangka akan disoal oleh peguam yang mewakili ibu Zara. Itu sahaja yang boleh dimaklumkan setakat ini," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Kota Kinabalu.

Iklan

Ram memaklumkan bahawa prosiding inkues yang diteruskan pada Rabu akan dikendalikan oleh rakan sepasukannya, Joan Goh, kerana beliau perlu berada di Tenom bagi mengendalikan kes pendakwah terkenal, Ebit Lew.

"Esok saya perlu berada di Tenom bagi mewakili Ebit Lew, jadi peguam bersama saya akan meneruskan prosiding perbicaraan di sini.

"Namun, saya percaya prosiding esok hanya akan berlangsung setengah hari kerana pegawai pengendali perlu membuat persediaan untuk prosiding di lokasi sebenar pada Khamis nanti, iaitu di sekolah," jelasnya.

Sementara itu, Joan ketika ditanya mengenai larangan 'gag order' melibatkan remaja bawah umur yang diwakili mereka berkata, pihaknya akan membuat permohonan arahan lanjut mengenai cara pengendaliannya.

"Buat masa ini semua pihak yang terbabit dipersetujui dirujuk menggunakan huruf mengikut abjad.

"Namun, saya tidak pasti apa yang akan berlaku bagi saksi-saksi bawah umur yang lain. Mungkin akan ada satu lagi perintah larangan penyiaran (gag order), saya tidak pasti, kita akan lihat esok," katanya.

Ram dan pasukannya termasuk Prem Elmer Ganasan hadir sebagai pihak berkepentingan dalam inkues tersebut, selain empat lagi tertuduh yang diwakili peguam Azhier Farhan Arisin bersama Abdul Fikry Jaafar Abdullah.

Turut hadir sebagai pihak berkepentingan pada prosiding itu ialah pasukan peguam bagi ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, yang diwakili Shahlan Jufri dan Rizwandean M. Borhan, selain Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.

Peguam mewakili bapa Zara Qairina, Mahathir Hashim @ Marikin pula ialah Sherzali Asli bersama dua rakan guaman, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.

Inkues sepanjang bulan ini dikendalikan oleh Timbalan Ketua Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad bersama Timbalan Pendakwa Raya yang bertindak sebagai pegawai pengendali, iaitu Dana Arabi Wazani, Mohd Fairuz Johari dan Dena Dacia Jane.