SINGAPURA - Seorang remaja berusia 14 tahun di Singapura dikenakan perintah sekatan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada awal bulan lalu.
Ia merupakan kes pertama radikalisasi diri melibatkan pelbagai ideologi ekstremis.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada Selasa memaklumkan individu itu dipengaruhi oleh ideologi pelampau digelar 'salad bar' termasuk menyokong Daesh dan taasub dengan fahaman anti-Yahudi.
Pelajar Tingkatan Tiga itu mula terjebak dengan kandungan ekstremis haluan kanan pada pertengahan 2024 dan mula menyatakan taat setia kepada Daesh pada April lalu.
"Dia turut menyokong al-Qaeda dan menjadikan Osama Laden sebagai idola. Remaja itu juga menunjukkan kebencian terhadap wanita meskipun dia tidak berniat untuk bertindak ganas terhadap mereka," menurut ISD.
Difahamkan, individu yang dikenakan perintah sekatan sedemikian dilarang meninggalkan Singapura atau bertukar alamat menginap tanpa kebenaran.
Mereka juga tidak dibenarkan mengakses internet atau media sosial, mengeluarkan kenyataan awam, mengedar atau menyumbang pendapat kepada mana-mana penerbitan tanpa kelulusan.
Pada Jun tahun lalu, seorang remaja lelaki berumur 14 tahun juga dikenakan tindakan tegas sama selepas terlibat radikalisasi diri disebabkan konflik Israel-Hamas. - Agensi