PDRM guna AI, naik taraf teknologi forensik

Iklan
Ayob Khan (tengah) melawat reruai pada majlis Perasmian Pembukaan 6th National Forensic Science Symposium for Law Enforcement (NAFSLE) 2025 di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menaik taraf teknologi forensik termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam menyelesaikan jenayah yang semakin kompleks.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, PDRM perlu mengikut perkembangan semasa dan mempertingkatkan keupayaan teknologi sedia ada.

Iklan
Iklan

“PDRM kini sudah memiliki kelengkapan dan teknologi forensik terkini namun kemahiran serta peralatan terbabit perlu dinaik taraf dari semasa ke semasa sesuai dengan perkembangan teknologi baharu.

“Landskap jenayah yang semakin kompleks menuntut pengukuhan keupayaan fasiliti teknologi sains forensik yang lebih moden dan canggih agar dapat menandingi trend manipulasi oleh sindiket jenayah global,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Simposium Sains Forensik Kebangsaan untuk Penguatkuasaan Undang-undang (NAFSLE) Edisi Keenam 2025 di Maktab PDRM di sini pada Selasa.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan dan Pengarah Pengurusan, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid.

Iklan

Ayob Khan berkata, antara kepentingan AI dalam siasatan forensik adalah membina semula lokasi kejadian secara maya bagi memberi perspektif lebih mendalam kepada pasukan penyiasat.

“Dari segi teknologi forensik PDRM, kita memang ada, cuma perlu sentiasa dikemas kini mengikut perkembangan semasa. Banyak juga teknologi yang dipamerkan itu sebenarnya sudah ada dalam PDRM,” katanya.

Menurutnya, simposium tersebut menghimpunkan 280 peserta dalam kalangan pegawai penyiasat, ahli akademik, dan pakar daripada jabatan berkaitan.

“Peserta simposium akan didedahkan dengan isu dan cabaran dalam siasatan forensik masa kini sekali gus menjana inovasi prinsip serta kaedah analisis bagi penyiasatan dan pendakwaan yang lebih ampuh dan mantap.

“Kehadiran pakar bidang siasatan sains forensik dari pelbagai agensi dan jabatan amat signifikan bagi memantapkan pelaksanaan operasi, penyiasatan serta pendakwaan kes oleh pegawai penguat kuasa undang-undang negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, jumlah pegawai forensik PDRM ketika ini masih belum mencukupi.

“Selain itu, pegawai forensik yang menyertai pasukan itu mempunyai peluang perkembangan kerjaya yang terhad. Perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Kementerian Dalam Negeri,” katanya.