PUTRAJAYA - Sebanyak 37 akaun bank membabitkan jumlah keseluruhan kira-kira RM17.5 juta dibekukan susulan penahanan empat individu termasuk seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bergred Jusa B baru-baru ini.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pembekuan itu melibatkan 11 akaun peribadi, 23 akaun syarikat dan tiga akaun saham.
"SPRM turut merampas wang tunai bernilai RM1.15 juta, €12,300 dan S$24,280 selain dua kereta mewah berjumlah RM650,000 serta koleksi beg tangan dan kasut berjenama dianggarkan bernilai RM100,000.
"Setakat ini, SPRM sudah merakam keterangan 16 individu termasuk empat yang ditahan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Selasa.
Media sebelum ini melaporkan siasatan SPRM melibatkan pembelian beberapa hartanah membabitkan pegawai kanan DBKL berkenaan yang pertama kali direman pada 26 Ogos lalu.
Azam berkata, pegawai itu merupakan antara pengarah tertinggi di bawah pejabat Datuk Bandar Kuala Lumpur dan siasatan turut menumpukan kepada pembelian hartanah, termasuk sebuah kondominium yang dikaitkan dengannya.
Difahamkan, aktiviti rasuah berkenaan dipercayai berlaku sejak tahun 2014.
Siasatan awal turut mengesyaki seorang pemilik syarikat memberi rasuah kepada pegawai DBKL tersebut sebagai habuan untuk mendapatkan projek di agensi berkenaan.