SYDNEY – Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese pada Selasa menegaskan seorang senator pembangkang berhaluan kanan perlu memohon maaf selepas membuat kenyataan yang dianggap menyinggung masyarakat India di negara itu.
Jacinta Nampijinpa Price, seorang senator daripada Parti Liberal berhaluan tengah-kanan, mencetuskan kontroversi selepas mendakwa jumlah migran India yang tinggi ke Australia memberi kesan tidak lestari.
Kenyataan itu dibuat susulan protes besar-besaran anti-pendatang di seluruh negara yang antara lain menyalahkan komuniti India atas tekanan kos sara hidup.
Dalam satu temu bual radio minggu lalu, Price mendakwa bilangan besar migran India dibenarkan masuk ke Australia bagi menyokong Parti Buruh pimpinan Albanese.
“Terdapat kebimbangan mengenai komuniti India – hanya kerana bilangannya yang terlalu besar. Kita dapat melihat ia tercermin dalam corak undi yang memihak kepada Buruh pada masa yang sama,” katanya.
Kenyataan itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan masyarakat Australia-India, termasuk gesaan supaya beliau membuat permohonan maaf daripada rakan partinya sendiri.
“Masyarakat India di Australia sedang terluka,” kata Albanese dalam temu bual bersama penyiar nasional ABC.
“Kenyataan yang dibuat oleh senator itu tidak benar dan sudah tentu beliau perlu memohon maaf atas kesakitan yang ditimbulkan, malah rakan-rakannya sendiri turut berkata demikian,” tambahnya.
Menurut statistik kerajaan, seramai 845,800 penduduk kelahiran India tinggal di Australia pada 2023, iaitu lebih dua kali ganda berbanding sedekad lalu. Ratusan ribu lagi rakyat Australia mempunyai asal usul keturunan India.
Pada Selasa, kerajaan negeri New South Wales mengadakan pertemuan dengan kumpulan masyarakat bagi membincangkan peningkatan sentimen anti-India di negara itu.
“Hari ini kami berdiri bersama komuniti Australia-India untuk menyatakan dengan jelas bahawa retorik bersifat perkauman dan dakwaan palsu yang memecahbelahkan, seperti yang kita saksikan sejak beberapa minggu lalu, tidak mempunyai tempat di negeri atau negara ini,” kata Perdana Menteri NSW, Chris Minns.
Kementerian Luar India minggu lalu turut memaklumkan pihaknya sedang berhubung dengan Canberra berhubung kebimbangan peningkatan sentimen anti-India selepas protes tersebut. - Agensi