Ziarah Kasih-Maulidur Rasul bantu lebih 60 pesakit terlantar

Iklan
Azran Fitri (kanan) menyampaikan sumbangan zakat kepada Zainab Mat Didah, 78, yang menderita akibat serangan angin ahmar di Kampung Banggol, Sik, Sabtu lalu.

SIK - Pertubuhan Muafakat Anak Muda Sik Kedah (PEMASIK) menganjurkan program Ziarah Kasih–Maulidur Rasul dengan mengagihkan zakat kepada lebih 60 pesakit terlantar di kira-kira 20 kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belantek di sini.

Pengerusinya, Azran Fitri Abdul Rahim berkata, program tersebut diadakan dengan kerjasama seorang usahawan muda berpangkalan di Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

“Kami turut bekerjasama dengan pemimpin setempat untuk mendapatkan senarai pesakit terlantar di kawasan masing-masing.

“Zakat ini diagihkan pada Jumaat dan Sabtu lalu, dengan setiap pesakit menerima sumbangan tunai sebanyak RM500.

Iklan
Azran Fitri menyampaikan sumbangan zakat kepada Hasim Jaafar yang terlantar akibat strok di Perumahan KEDA Gulau, Sik Jumaat lalu.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada usahawan ini. Kami doakan beliau terus dimurahkan rezeki dan berjaya,” katanya pada Isnin.

Azran Fitri berkata, program Ziarah Kasih–Maulidur Rasul itu diadakan sempena meraikan Hari Keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Iklan

Menurutnya, Maulidur Rasul bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi juga peluang untuk bermuhasabah mengenai sejauh mana kecintaan serta penghayatan umat Islam terhadap ajaran Baginda.

“Kami memilih pendekatan berbeza dengan turun menyantuni golongan yang memerlukan, khususnya mereka yang terlantar sakit sejak sekian lama. Ia memberi ruang kepada kita semua untuk bermuhasabah dengan menilai kembali amalan seharian.

Azran Fitri (kiri) bersama Setiausaha Jawatankuasa Kariah Masjid An-Naim, Kg. Namek, Mohd. Nasir Romli menziarahi Mohd. Nasir Hammid (dua dari kanan) yang terlantar akibat strok di Kampung Charuk Damar.

“Tanpa muhasabah, sambutan Maulidur Rasul hanya tinggal acara ritual tanpa memberi kesan mendalam kepada hati.

“Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan beban para penerima,” katanya.

Beliau menambah, PEMASIK berharap lebih banyak pihak tampil bersama mereka dalam usaha membantu golongan memerlukan di daerah Sik.