RUU Pekerja Gig 2025: Kontrak lisan penggiat seni boleh dibawa ke tribunal

Iklan
Steven (empat dari kanan) ketika mengadakan sidang akhbar pada Majlis Taklimat Khas RUU Pekerja Gig 2025 di Finas pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang diluluskan di Dewan Rakyat membolehkan penggiat seni menggunakan kontrak secara lisan untuk dibawa ke tribunal sekiranya berlaku pertikaian.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, di bawah RUU tersebut, definisi perjanjian perkhidmatan termasuk secara lisan atau tersurat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagaimanapun amalan terbaik adalah kontrak secara bertulis.

“Sebelum ini tiada undang-undang untuk pekerja gig, sekarang sudah ada, dan antara perkara yang dibangkitkan penggiat seni misalnya kontrak lisan.

Iklan

“Ada yang kata selalunya kontrak dalam sektor ini dibuat secara lisan. Apa akan jadi kalau ada pertikaian? Sekarang ia sah di bawah undang-undang.

“Satu lagi tentang kadar bayaran, ia boleh ditangani menerusi Majlis Perundingan Tripartite. Selain itu, saya ingin tekankan pemilik syarikat dalam industri ini juga perlu melangsaikan pendapatan pekerja gig terlebih dahulu sebelum membayar kepada pemiutang lain sekiranya bankrap,” katanya pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Taklimat Khas RUU Pekerja Gig 2025 di Finas.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac.

Tambah Steven, dalam sektor seni memang wujud keperluan mendesak memandangkan mereka merupakan pekerja gig yang lebih awal wujud sebelum munculnya e-hailing dan p-hailing.

“Golongan ini sudah lama berkecimpung dalam industri, justeru terdapat keperluan memberi perlindungan undang-undang kepada pekerja gig dalam sektor seni.

“Keluhan pemain industri ini bukan baharu, malah sudah berlarutan lebih 100 tahun,” ujarnya.

Ditanya mengenai sektor e-hailing dan p-hailing yang tidak disebut secara khusus dalam RUU Pekerja Gig 2025, beliau menjelaskan, sudah memadai meletakkan golongan itu dalam perkhidmatan melalui definisi entiti kontrak sebagai penyedia platform.

“Sebab dalam kalangan penyedia platform ada yang buat kerja lain termasuk e-hailing dan p-hailing. Kalau ada platform yang cukup sifatnya, mereka termasuk dalam RUU ini.

“Jadi, penyedia platform memang tidak perlu disenaraikan lagi,” jelasnya.