KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pengarah Syarikat Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas empat pertuduhan pecah amanah lebih RM313 juta dan 13 pertuduhan ubah wang haram RM139.2 juta, berkaitan projek Lebuhraya MEX II.
Ia membabitkan projek sambungan MEX II yang menghubungkan Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Tertuduh, 74, yang hadir menaiki kerusi roda, membuat pengakuan itu di luar kandang tertuduh selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
“Faham, tidak mengaku salah,” katanya selepas setiap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Bagi empat tuduhan pecah amanah, Abu Sahid didakwa sebagai ejen iaitu Pengarah Maju Holdings, yang diamanahkan dengan wang milik syarikat dalam akaun CIMB Bank Berhad, telah melakukan pecah amanah jenayah dengan secara tidak jujur menyalahgunakan wang berjumlah RM91.5 juta, RM171.5 juta, RM49.6 juta dan RM500,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Bukit Tunku, antara 4 Mei 2016 hingga 21 Oktober 2019.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi 13 tuduhan pengubahan wang haram, bagi pertuduhan pertama hingga ke-10, beliau didakwa memindahkan hasil aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM116,449,536.12 daripada akaun bank miliknya kepada lima individu dan empat syarikat pembinaan, antara 4 Mei 2016 hingga 29 Oktober 2019.
Bagi baki tiga tuduhan pula, beliau didakwa melupuskan hasil aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM22,802,612.86 dengan membuat pengeluaran tunai melalui 17 keping cek dari akaun bank miliknya antara 4 Mei 2016 hingga 19 September 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib berkata, kes berkenaan termasuk dalam pertuduhan yang tidak boleh diikat jamin.
Bagaimanapun, sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan, beliau mencadangkan kadar itu ditetapkan sebanyak RM1.5 juta dengan seorang penjamin.
“Kadar itu dipersetujui pihak pembelaan termasuk syarat tambahan tertuduh dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah.
“Kami turut memohon kesemua tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram dibicarakan bersama,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry.
Sementara itu, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili tertuduh mengesahkan kadar jaminan yang dipersetujui itu.
Hakim Suzana kemudiannya membenarkan permohonan pendakwaan berkenaan dan menetapkan 3 November depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita pelbagai aset bernilai kira-kira RM32 juta milik individu berkenaan termasuk beg tangan berjenama, barang kemas, kenderaan mewah, jam tangan dan wang tunai.
Dalam operasi itu juga, SPRM menemui sebuah stor di salah sebuah kediaman yang digunakan untuk menyimpan pelbagai minuman keras mewah dianggarkan bernilai RM3 juta, dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.
Bahagian Komunikasi Strategik SPRM dalam kenyataan memaklumkan, semua barang dan aset berkenaan disita bagi siasatan lanjut mengikut Akta SPRM 2009 serta AMLATFPUAA 2001.