IPOH - Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin kerana melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak, baru-baru ini.
Tertuduh, Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 41, didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Bangunan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab pada jam 8.20 pagi, 31 Ogos 2025.
Mengikut pertuduhan, wanita terbabit telah melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Nazrin Shah, yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Pasukan pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Nasrul Hadi Abdul Ghani memohon agar pertuduhan dibacakan tanpa pengakuan diambil memandangkan tertuduh didapati menghidap penyakit skizofrenia ketika proses penahanan dan pemeriksaan awal dibuat.
Pihak pendakwaan turut memohon agar tertuduh menjalani pemeriksaan lanjut di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah, susulan pemeriksaan dan pemantauan awal mengikut Seksyen 11 dan 14 Akta Kesihatan Mental 2001, bagi mengesahkan sama ada tertuduh waras semasa kejadian dan boleh membuat pengakuan untuk dibicarakan.
Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan kemudian memerintahkan tertuduh menjalani rawatan lanjut selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK).
Pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nur Izzah Farzana Mohd Tafkir, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M Saravanan.
Mahkamah menetapkan 8 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes, dan tiada jaminan diberikan kepada tertuduh.
Pada 31 Ogos lalu, media melaporkan seorang wanita yang memakai kemeja dan seluar hitam dilihat berlari ke arah Sultan Nazrin yang sedang berdiri memberi tabik hormat sewaktu lagu kebesaran negeri Perak dimainkan.
Kejadian berlaku sekitar jam 8.20 pagi dan semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah serta rekod rawatan psikiatri dan kini berada di bawah pengawasan pakar.
Wanita terbabit kemudiannya direman selama tiga hari sebelum dirujuk ke HBUK, Tanjung Rambutan, untuk tindakan lanjut.