Inkues kes Zara Qairina: Pemeriksa dokumen beri keterangan perbandingan tulisan tangan

Iklan
Pasukan pegawai pengendali inkues kematian Zara Qairina tiba di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – Pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd Noh merupakan saksi kedua yang memberi keterangan dalam inkues kes kematian Zara Qairina Mahathir yang berlangsung di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu pada Isnin.

Saksi kedua berusia 44 tahun itu merupakan pemeriksa dokumen yang membuat perbandingan tulisan tangan dalam dokumen berkaitan kes Zara Qairina yang dihantar ke Jabatan Kimia untuk diperiksa.

Iklan
Iklan

Prosiding yang memasuki minggu kedua bermula pada jam 9.20 pagi itu dijalankan di hadapan Koroner, Amir Shah Amir Hassan.

Prosiding turut dihadiri pasukan peguam sebagai pihak berkepentingan dalam kes ini iaitu ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat yang diwakili Shahlan Jufri dan Rizwandean M. Borhan, selain Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.

Iklan

Turut hadir sebagai pihak berkepentingan ialah peguam yang mewakili bapa arwah Zara Qairina, Mahathir Hashim @ Marikin, 44, iaitu Sherzali Asli bersama dua rakan guaman, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.

Seorang daripada tertuduh kanak-kanak pula diwakili peguam Datuk Ram Singh dan Joan Goh, manakala empat lagi tertuduh diwakili peguam Azhier Farhan Arisin bersama Abdul Fikry Jaafar Abdullah.

Iklan

Inkues sepanjang bulan ini dikendalikan oleh Timbalan Ketua Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad bersama Timbalan Pendakwa Raya yang bertindak sebagai pegawai pengendali iaitu Dana Arabi Wazani, Mohd Fairuz Johari dan Dena Dacia Jane.