PARIT - Seorang maut manakala tiga lagi terselamat selepas terjerumus ke dalam pam pasir di Kampung Teluk Kepayang, Bota Kiri dekat sini pada Ahad.
Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku sekitar jam 5 petang itu, mangsa lelaki berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia akibat tertimbus dalam timbunan tanah dan batu.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, tiga lagi mangsa masing-masing berusia 28, 36 dan 38 tahun berjaya dikeluarkan pasukan penyelamat.
“Setiba di lokasi, terdapat empat mangsa terlibat. Tiga mangsa tersekat dalam pam pasir manakala seorang lagi tertimbus sepenuhnya.
“Pasukan penyelamat menjalankan operasi menggunakan peralatan menyelamat dengan bantuan tiga unit jentolak bagi mengalihkan timbunan tanah dan batu,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, tiga mangsa yang berjaya diselamatkan telah diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
Katanya, operasi dijalankan dengan kekuatan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar bersama dua jentera iaitu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Penyelamatan (URVAN).
“Operasi turut mendapat bantuan pencahayaan dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah serta Parit,” katanya.