Fenomena gerhana bulan penuh atau 'Blood Moon' dijangka berlaku malam ini

Iklan
Ketika gerhana bulan penuh, bulan akan kelihatan berwarna merah atau jingga disebabkan pembiasan cahaya matahari oleh atmosfera bumi. Foto Planetarium Negara

KUALA LUMPUR - Fenomena gerhana bulan penuh atau dikenali sebagai Blood Moon dijangka dapat disaksikan di seluruh negara bermula malam Ahad hingga awal pagi Isnin ini.

Menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), fenomena itu akan bermula jam 11.28 malam pada 7 September dengan fasa penumbra iaitu bayang bumi mula menutupi permukaan bulan.

Iklan
Iklan

“Ia kemudian diikuti dengan fasa separa yang bermula jam 12.26 tengah malam apabila sebahagian daripada bulan mula kelihatan gelap.

“Fasa penuh dijangka bermula jam 1.30 pagi dan mencapai kemuncaknya kira-kira jam 2.11 pagi. Selepas itu, fasa penuh akan berakhir pada jam 2.53 pagi diikuti dengan tamatnya fasa separa jam 3.56 pagi,” kata MYSA menerusi satu kenyataan.

Iklan

Menurut MYSA, keseluruhan gerhana dijangka berakhir sepenuhnya pada jam 4.55 pagi.

"Di Malaysia, bulan berada di atas ufuk sepanjang gerhana berlaku. Oleh itu, dalam keadaan cuaca yang baik, keseluruhan fasa gerhana dapat dilihat dengan mata kasar atau bantuan seperti teleskop,” ujarnya.

Iklan

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui MYSA menjemput orang ramai untuk hadir ke beberapa lokasi balai cerap di seluruh negara bagi merasai pengalaman ini selain menambah pengetahuan berkenaan ilmu astronomi.

Fenomena ini berlaku beberapa hari sebelum bulan berada pada kedudukan paling hampir dengan bumi iaitu sekitar 364,773 kilometer.

Gerhana bulan berlaku apabila bumi berada pada kedudukan di antara matahari dan bulan, menyebabkan bayang-bayang bumi menutupi bulan.

Ketika gerhana bulan penuh, bulan akan kelihatan berwarna merah atau jingga disebabkan pembiasan cahaya matahari oleh atmosfera bumi.

Fenomena ini dapat disaksikan di seluruh kawasan Eropah, Afrika, Asia, Australia dan New Zealand. - Awani