SHAH ALAM - Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebulat suara menyokong dan meluluskan tiga usul yang dibawa oleh perwakilan parti.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, seramai 20 pembahas mengambil bahagian mewakili negeri, sayap parti serta wakil mahasiswa.
“Pembahas telah menghayati dan mengupas pelbagai isu termasuk kos sara hidup, ekonomi global dan serantau, perpaduan rakyat serta isu politik semasa.
“PAT Bersatu bersetuju dan sebulat suara meluluskan usul ucapan dasar Presiden, menyokong sepenuhnya kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden, dan mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri ke-11 daripada Bersatu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sementara itu, Muhyiddin dalam sidang akhbar selepas penangguhan PAT Bersatu berkata, beliau menyerahkan semua keputusan yang dipersetujui kepada barisan kepimpinan parti.
“Apa-apa keputusan akan dikeluarkan oleh Setiausaha Agung parti.
“Tidak sesuai untuk saya mengulas lanjut berkaitan perkara itu,” katanya.