Larangan bawa kayu dalam pusat beli-belah adalah prosedur keselamatan - Suria KLCC

Iklan
Video tular peserta yang membawa kayu bendera cuba memasuki pusat beli-belah berkenaan namun dihalang oleh pihak keselamatan.

KUALA LUMPUR - Tindakan anggota keselamatan melarang seorang pengunjung membawa sebatang kayu panjang ke dalam pusat beli-belah Suria KLCC adalah prosedur keselamatan biasa.

Pengurusan Suria KLCC dalam satu kenyataan memaklumkan peraturan tersebut diguna pakai terhadap semua pengunjung tanpa mengira latar belakang bagi memastikan keselamatan serta keselesaan orang ramai.

Iklan
Iklan

“Prosedur keselamatan kami tidak membenarkan sebarang objek yang berpotensi mendatangkan risiko keselamatan atau mengganggu keselesaan dibawa masuk.

"Tindakan ini sama sekali tidak didorong oleh sebarang pendirian politik,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Menurut kenyataan itu pihaknya memahami insiden berkenaan menimbulkan perbincangan dalam kalangan warganet selepas video interaksi antara anggota keselamatan dan pengunjung terbabit tular di media sosial.

“Keselamatan dan kesejahteraan komuniti sentiasa menjadi keutamaan kami. Justeru, kami menghargai kerjasama serta pemahaman orang ramai dalam mengekalkan persekitaran yang selamat dan teratur di Suria KLCC,” jelas kenyataan itu lagi.

Iklan

Terdahulu, aktivis yang juga bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mendakwa insiden berkenaan berlaku ketika peserta himpunan itu sudah bersurai, beberapa individu yang membawa bendera Palestin atau berpakaian bertemakan Palestin didakwa dihalang daripada memasuki Suria KLCC.

Menurut Tian Chua, beliau menyaksikan sendiri keadaan itu apabila sebahagian peserta cuba memasuki pusat beli-belah berkenaan namun dihalang oleh pihak keselamatan.

Menerusi video yang tular, situasi berkenaan menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat, termasuk dakwaan bahawa tindakan keselamatan di pusat beli-belah itu bermotifkan politik, walaupun Suria KLCC sudah menegaskan ia hanya melibatkan prosedur piawai semata-mata.