Kenaikan premium insurans punca T20 pilih hospital awam – Dr Dzulkefly

Iklan
Dr Dzulkefly (tiga dari kanan) menerima cenderahati daripada Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi ketika hadir merasmikan Konvensyen Amanah Negeri Perak 2025 di Pusat Konvensyen Casuarina di Ipoh pada Ahad. Foto: Amanah Perak

IPOH - Kenaikan premium insurans kesihatan menjadi antara faktor utama yang mendorong semakin ramai golongan berpendapatan tinggi (T20) mendapatkan rawatan di hospital awam, termasuk di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, walaupun golongan berkemampuan lazimnya memiliki perlindungan insurans dan mampu membayar secara terus di hospital swasta, peningkatan kos berkenaan menyebabkan mereka menilai semula polisi sedia ada.

Iklan
Iklan

“Tidak boleh kita tolak. Jika premium insurans dan takaful meningkat, maka bukan sahaja golongan M40 (berpendapatan sederhana), tetapi juga T20 akan menilai semula polisi mereka.

“Sebab itu sangat penting untuk kita mitigasi dan mengawal aspek premium insurans ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Perak 2025 di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini pada Ahad.

Iklan

Dr Dzulkefly berkata, kerjasama antara semua pihak termasuk pengendali insurans, syarikat takaful, Bank Negara Malaysia (BNM), dan hospital swasta amat diperlukan bagi menangani isu inflasi perubatan yang semakin tinggi, melebihi kadar inflasi kebangsaan.

Katanya, perkara ini perlu diperhalusi secara teliti bagi memastikan akses rawatan yang adil untuk semua serta kelestarian kewangan sistem kesihatan negara.

Iklan

“Kalau rakan-rakan media masih ingat, perkara ini pernah disentuh oleh Perdana Menteri sebelum ini dalam konteks subsidi bersasar.

“Namun sehingga kini belum ada perkembangan secara khusus dalam aspek perawatan di hospital-hospital awam. Saya pasti perkara ini perlu disusuli dengan lebih cermat,” ujarnya.

Naib Presiden Amanah itu turut menegaskan bahawa hospital awam kekal terbuka untuk semua lapisan rakyat, termasuk golongan T20.

“Kita mesti ingat, 150 hospital awam di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah untuk semua rakyat. Bukan sahaja untuk golongan B40 atau M40, tetapi juga T20.

“Cuma biasanya mereka ada insurans atau membayar sendiri di hospital swasta. Namun, ada segelintir kecil yang turut mendapatkan rawatan di hospital awam, terutama dalam keadaan kritikal,” katanya.

Terdahulu, sebuah akhbar melaporkan bahawa perkhidmatan di HKL kini bukan sahaja menjadi tumpuan pesakit berpendapatan rendah, malah turut menerima pesakit daripada kalangan T20 dan golongan kenamaan (VIP).