KLUANG – Seorang wanita tempatan ditahan bagi membantu siasatan kes khianat menggunakan api yang menyebabkan kebakaran sebuah rumah di Jalan Permai, Taman Sri Permai, awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 5.30 pagi.
“Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 3.30 pagi selepas mangsa terdengar bunyi seperti objek dibaling ke dalam rumah.
“Hasil pemeriksaan mendapati pekarangan rumah dan sebuah kereta musnah terbakar selain penemuan sekeping kertas berbaur ugutan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, hasil risikan membawa kepada penahanan seorang wanita berusia 46 tahun di Bandar Seri Alam, Masai, Johor Bahru menerusi operasi bersama Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Muar.
Menurutnya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.
“Suspek direman bermula hari ini hingga 12 September untuk siasatan mengikut Seksyen 435 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kluang di talian 07-7784222, talian terus 07-7784256, hotline 07-7766822 atau Tablet DCC 014-3656822.