HANOI - Seorang warga Hanoi, Pham Manh Ha, berdepan pengalaman luar biasa apabila menerima sejumlah wang yang sepatutnya ditujukan kepada rakyat Cuba akibat tersalah hantar ke akaun peribadinya.
Kejadian itu berlaku pada Khamis, 14 Ogos lalu, apabila Ha mendapati lebih satu juta dong Vietnam masuk ke akaunnya, setiap satunya dengan catatan 'Cuba'.
Selepas meneliti transaksi, beliau menyedari wang berkenaan sebenarnya merupakan derma untuk rakyat Cuba.
Kesilapan itu dipercayai berpunca kerana nombor akaun bank Ha di ABBank berakhir dengan angka sama, iaitu 2022, menyebabkan sebahagian penderma tersalah menghantar sumbangan.
Sehingga pagi Jumaat, 5 September, Ha sudah menerima lebih 3 juta dong Vietnam.
Sebagai langkah bertanggungjawab, Ha segera menghubungi pihak bank untuk mengembalikan wang berkenaan kepada penderma.
"Saya telah menyekat sementara akaun saya agar orang tidak lagi melakukan kesalahan,” katanya.
Sebelum ini, kempen '65 Tahun Solidariti Vietnam-Cuba' dilaksanakan bermula 13 Ogos hingga 16 Oktober 2025 bagi menyokong rakyat Cuba serta memperingati hubungan erat kedua-dua negara.
Dalam tempoh 30 jam selepas dilancarkan, kempen itu berjaya mengumpul lebih 65 bilion dong dan jumlah sumbangan terus meningkat.
Vietnam dan Cuba menjalin hubungan diplomatik sejak 2 Disember 1960.