Menteri KPKT tunai janji, derma bantuan SARA kepada anak yatim

Iklan
Kor Ming menyalurkan bantuan SARA kepada 28 kanak-kanak kurang bernasib baik daripada sebuah pertubuhan berpusat di Ipoh dengan membawa mereka membeli barangan keperluan harian di pasar raya 99 Speedmart.

IPOH – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menunaikan janji apabila menyalurkan bantuan tunai Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 miliknya kepada anak yatim.

Beliau memilih untuk menyalurkan bantuan tersebut kepada 28 kanak-kanak kurang bernasib baik daripada sebuah pertubuhan berpusat di Ipoh dengan membawa mereka membeli barangan keperluan harian di pasar raya 99 Speedmart.

Iklan
Iklan

“Sejurus Perdana Menteri mengumumkan SARA, saya adalah menteri pertama yang mengumumkan akan mendermakan bantuan ini kepada anak yatim.

“Saya bukan sahaja menderma, malah hari ini saya bawa sendiri 28 anak yatim untuk membeli barangan keperluan dengan semua kos ditanggung oleh saya,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan empat Taman Rekreasi Madani di sini, pada Sabtu.

Iklan

Menurut beliau, inisiatif SARA amat membantu rakyat dalam mengurangkan beban kos sara hidup, lebih-lebih lagi bagi keluarga besar.

“Bayangkan jika suami isteri ada lima anak, sekeluarga boleh dapat RM700. Jumlah itu cukup untuk menampung keperluan barangan dapur selama sebulan,” ujarnya.

Iklan

Beliau turut menegaskan bahawa apabila kerajaan bersih dan berintegriti, rakyat akan menerima manfaat secara terus dalam bentuk bantuan.

“Jika bantuan ini tidak begitu diperlukan, saya galakkan beli barangan harian dan sumbangkan kepada mereka yang kurang bernasib baik,” katanya.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu turut berkongsi data Kementerian Kewangan bahawa dalam tempoh empat hari pelaksanaan SARA, lebih 6.6 juta penerima telah membelanjakan RM425.2 juta di kedai runcit serta peruncit kecil di seluruh negara.

Pada 4 September sahaja, katanya, seramai 1.8 juta rakyat menggunakan bantuan itu dengan jumlah perbelanjaan RM117.1 juta.

“Ini bukan sahaja meringankan beban rakyat tetapi turut memberi manfaat besar kepada peniaga kecil dan sederhana (PKS),” jelasnya.