KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan remaja lelaki warga Britain yang ditemukan selepas dilaporkan hilang sejak Jun lalu tidak mengalami sebarang trauma atau kecederaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pemeriksaan kesihatan terhadap mangsa yang ditemui di sebuah hotel di Jalan Pudu mendapati keadaannya baik dan stabil.
“Remaja berkenaan telah dibawa ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan lanjut sebelum diserahkan kepada ibunya dalam keadaan selamat.
“Mangsa juga akan dibawa pulang ke Britain kerana Visa Lawatan yang digunakannya telah tamat pada hari ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Fadil, penemuan mangsa yang dikenali sebagai David adalah hasil maklumat awam yang diterima daripada seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Uncle Kentang.
“Pada jam 5.17 petang, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur telah menemukan mangsa di hotel terbabit dalam keadaan baik.
“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai meninggalkan rumahnya di Britain kerana perselisihan faham dengan keluarga sebelum datang ke Malaysia pada 6 Jun lalu,” katanya.
Fadil turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga mangsa berjaya ditemukan semula.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian seumpama ini boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa pelajar cemerlang dari Cheadle, Greater Manchester itu meninggalkan rumah pada 6 Jun lalu dengan alasan mempunyai urusan di sekolah.
Bagaimanapun, remaja terbabit berlepas seorang diri menaiki penerbangan dari Manchester ke Kuala Lumpur tanpa pengetahuan keluarga, serta dilaporkan mematikan telefon bimbit dan tidak lagi membalas e-mel daripada keluarganya.
Remaja itu kemudiannya menghubungi ibunya pada 9 Julai lalu menerusi sepucuk e-mel, memohon maaf atas tindakannya, dan meminta keluarga tidak bimbang serta terus berjaya dalam kehidupan.