Siaran langsung perbicaraan rasuah perlu diperkasa

Iklan
Mohamad Nazri

SHAH ALAM - Cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi disiarkan secara langsung perlu diperkasa dengan beberapa tindakan susulan, termasuk memastikan maklumat rasmi yang sahih diberikan secara konsisten bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Pengerusi Gerakan Belia 4B Pulau Pinang, Mohamad Nazri Abdul Latiff berkata, selain itu, sistem pendigitalan mahkamah perlu dipertingkat supaya proses undang-undang menjadi lebih mesra rakyat.

Iklan
Iklan

“Perlindungan kepada hakim, pendakwa, peguam dan saksi perlu diperkukuh agar mereka dapat melaksanakan amanah tanpa rasa gentar.

“Pendidikan undang-undang kepada rakyat perlu diperluas supaya generasi hari ini dan akan datang mengerti makna keadilan sebenar,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Sebelum ini, SPRM mencadangkan supaya prosiding perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi disiarkan secara langsung bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap proses kehakiman.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, cadangan itu dibuat kerana terdapat segelintir pihak yang menggunakan media sosial untuk memanipulasi fakta yang didedahkan di mahkamah sehingga menyebabkan berlaku tohmahan yang tidak wajar.

Iklan

Ujar Mohamad Nazri, siaran langsung perbicaraan hanya akan memberi impak sekiranya disokong dengan pembaharuan menyeluruh dalam pentadbiran kehakiman dan sistem maklumat negara.

“Rakyat berhak melihat sendiri perjalanan perbicaraan tanpa tabir yang menutup kebenaran, kerana daripada ketelusan, lahir keyakinan.

“Kita tidak mahu lagi melihat fakta dimanipulasi, nama dicemarkan, dan persepsi dijadikan pengganti kepada kebenaran.

“Siaran langsung adalah salah satu jalan untuk memastikan keadilan bukan sahaja dilaksanakan, tetapi turut dilihat dan dirasai oleh seluruh rakyat,” ujarnya.

Menurutnya, langkah itu juga mampu menjadi tamparan kepada pihak yang cuba mempermainkan persepsi awam demi kepentingan tertentu.

“Harapan kami sebagai NGO belia ialah agar institusi kehakiman dan SPRM terus berdiri teguh sebagai benteng integriti negara.

“Rasuah bukan sekadar jenayah kewangan, tetapi racun yang meruntuhkan masa depan bangsa,” katanya.