KUALA LUMPUR – Empat lelaki ditahan polis dipercayai terbabit dalam kegiatan penyelewengan baja subsidi dalam serbuan sebuah gudang di Batu 7, Simpang Empat, Kedah pada Khamis.
Serbuan kira-kira jam 1 tengah hari itu dilakukan pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Op Taring Landai.
Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, kesemua suspek berusia antara 21 hingga 65 tahun ditahan ketika sedang memunggah baja subsidi dari lori ke premis berkenaan.
"Pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan dokumentasi sah untuk aktiviti berkenaan dan baja itu disyaki diseleweng dalam urusan jual beli.
"Pasukan serbuan turut merampas kira-kira 100 kilogram baja pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai lebih RM300,000," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya, dua buah lori disita dalam serbuan berkenaan.
"Semua rampasan dibawa ke stor KPDN Tunjang, Kedah untuk tindakan selanjutnya.
"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.
End.....