'Sukan lebih daripada persaingan, ia cara hidup' - Sze Fei-Izzuddin

Iklan
Sze Fei (kanan) dan Nur Izzuddin bakal menggalas cabaran negara pada Terbuka Hong Kong bermula Selasa. Foto Agensi

BEREGU profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menyifatkan kejayaan dalam sukan bukan sekadar kekuatan fizikal dan kemahiran, sebaliknya ia adalah cara hidup.

Sze Fei berkata, sukan mencakupi aspek yang lebih luas sehingga mampu membentuk peribadi, membina kekuatan mental serta mengajar erti konsistensi.

Iklan
Iklan

"Ia lebih daripada persaingan — ia adalah cara hidup," katanya.

AIA Malaysia pada Khamis mengumumkan pelantikan pasangan nombor tiga dunia itu sebagai duta kesihatan dan kesejahteraan.

Iklan

Nur Izzuddin pula berharap dapat berkongsi perjalanan mereka dalam usaha memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia agar kekal aktif dan terus bermotivasi.

"Malah kami juga mahu mengambil langkah untuk mengutamakan kesejahteraan diri bersama peminat sukan tanah air,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif AIA, Malaysia Ben Ng pula berharap rakyat Malaysia dapat menghayati nilai-nilai yang ditonjolkan oleh atlet bertaraf dunia termasuk disiplin, ketahanan dan gaya hidup aktif sebagai teras kepada kesejahteraan.

Katanya, sebagai atlet negara yang disegani, Sze Fei-Nur Izzuddin menjiwai semangat kecemerlangan dan kecekalan yang menjadikan mereka teladan untuk menginspirasi rakyat Malaysia agar mengamalkan gaya hidup aktif dan bermatlamat demi mencapai kehidupan yang lebih sihat, berpanjangan serta bermakna.

"Kami percaya kuasa sukan dalam mencetuskan perubahan positif. Ia membina daya tahan, fokus dan keseimbangan — kualiti yang melangkaui gelanggang serta memberi kesan dalam kehidupan seharian.

"Menerusi kerjasama ini, kami berhasrat untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menjalani gaya hidup aktif dan membudayakan pemikiran yang menyokong kesihatan jangka panjang serta perkembangan diri,” katanya.

Sze Fei-Nur Izzuddin dijadual menggalas cabaran negara pada Terbuka Hong Kong menentang pasangan China, Xie Haonan-Zeng Wei Han dalam aksi pusingan pertama bermula Selasa ini.